Assalamualaikum wrt wbt dan salam sejahtera,
Beberapa hari lepas suami memberi pesanan khidmat masyarakat kepada saya, “Sayang, nanti buatlah kuih ke apa-apa dengan kurma yang ada dalam peti sejuk, nanti biar lama-lama tak elok pulak”. Dalam hati malasnya nak godek-godek mixer kat dapur. Tapi mulut cakap “OK”. Sebenarnya tak sanggup nak baking sambil layan drama si kecil menangis dan menarik kaki mamanya. Kebetulan malam ini anak-anak tidur awal, dapatlah saya beraksi di dapur sambil berangan jadi Anna Olson.
Sticky Toffee Pudding merupakan sejenis kek span yang diperbuat daripada kurma, disalut dengan toffee sauce dan dimakan ketika panas bersama aiskrim vanilla. Di Australia dan New Zealand ia dikenali sebagai Sticky Dates Pudding. Bagi kita orang Melayu, rasanya sedikit seakan-akan apam gula hangus. Resepi yang saya tulis dibawah dibuat tanpa toffee sauce kerana ingin mengurangkan rasa yang terlampau manis. Saya gantikan dengan whipped cream sahaja.
Sticky Toffee Pudding (minus the toffee sauce)
Bahan-bahan:
200gm kurma dibuang biji
290ml air panas mendidih
200gm tepung naik sendiri
1 sudu kecil soda bikarbonat
1/2 sudu kecil vanilla
55g mentega
150g gula demerara (atau gula perang)
2 biji telur
Cara-cara:
- Sapu mentega pada loyang yang hendak digunakan. Panaskan oven pada suhu 200 darjah Celcius.
- Di dalam blender atau food processor, blend kurma bersama air panas sehingga menjadi puree. Kemudian masukkan soda bikarbonat dan vanilla.
- Pukul mentega dan gula sehingga bertukar pucat dan gebu. Masukkan telur satu biji pada satu masa.
- Kemudian masukkan tepung sedikit demi sedikit ke dalam adunan dan pukul pada kelajuan sederhana hingga sebati.
- Seterusnya tanpa menggunakan mixer, masukkan puree kurma ke dalam adunan dengan menggunakan spatula, dan kacau hingga sebati.
- Tuangkan adunan ke dalam loyang atau ramekins hingga 1/2 penuh. Bakar selama 20-25 minit sehingga coklat-keemasan dan bahagian atas pudding menjadi kenyal. Jika menggunakan loyang besar, bakar selama 35-40 minit atau sehingga masak (periksa menggunakan cake tester).
- Apabila hendak dihidang, keluarkan puding daripada bekas dan hidangkan bersama toffee sauce dan aiskrim vanilla.
- Puding ini boleh disimpan di dalam peti sejuk selama 3 minggu di dalam bekas kedap udara, hanya panaskan dengan microwave, steamer atau oven apabila hendak dimakan lagi.
Selamat mencuba!
p/s: Thank you Missworld for introducing me the best Sticky Dates Pudding in town. Also thank you Kakak for sharing the recipe!